PRU-15: DAP Pulau Pinang mulakan proses temu bual calon muka baharu

Admin

GEORGE TOWN – Parti Tindakan Demoktarik (DAP) Pulau Pinang memulakan proses mengenal pasti calon-calon baharu yang berkelayakan sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata bahawa sehingga kini lebih 30 calon muka baharu telah dikemukakan oleh cawangan masing-masing untuk proses temu bual yang akan dijalankan mulai minggu ini iaitu hari ini.

“Jumlah ini adalah tidak termasuk penyandang-penyandang sedia ada ketika ini.

“Selepas kita menemu bual calon-calon baharu yang disenaraikan ini, kemudian kita akan teruskan pula dengan penyandang sedia ada untuk mendengar suara-suara dan pandangan mereka tentang hala tuju parti.

“Temu bual akan dijalankan oleh panel khas yang terdiri daripada lima orang daripada jawatankuasa negeri termasuk saya sendiri, timbalan dan naib pengerusi serta setiausaha DAP negeri,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Kon Yeow berkata, antara kriteria-kriteria calon yang dinilai kali ini adalah melibatkan pengalaman dalam bidang politik, khidmat bakti, pencapaian pendidikan, profesion serta kemahiran berbahasa.

“Selain itu, kita juga akan melihat dari sudut idea-idea baharu yang dikemukakan dan inspirasi mereka tentang hala tuju politik.

“Kebanyakan senarai calon adalah dalam kalangan Ahli-Ahli Majlis, peguam ahli perniagaan, dan ahli-ahli sudah lama menyumbang kepada parti,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Mengulas mengenai strategi dalam menghadapi PRU-15, beliau berkata bahawa paling penting adalah DAP Pulau Pinang perlu mendapatkan keyakinan rakyat berdasarkan pencapaian semasa Kerajaan Negeri.

“Salah satu strategi adalah memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, mampu memberikan perkhidmatan terbaik serta dapat membawa pembangunan sosial dan ekonomi dengan lebih cemerlang.

“Selain itu, kita juga akan menekankan aspek komunikasi khususnya untuk menyemarakkan semangat pengundi-pengundi untuk keluar mengundi dan tidak berputus ada terhadap politik negara.

“Konflik politik yang berlaku sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk rakyat keluar mengundi dan menetukan kerajaan yang mereka ingin bentuk melalui pilihan raya umum,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI