Tegas tangani isu RIBI tanpa izin secara berhemah – Exco

Admin
whatsapp image 2026 05 13 at 9.54.08 am

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menegaskan pendirian dan berprinsip dalam menangani isu Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa izin di negeri ini menerusi pendekatan yang menyeimbangkan aspek penguatkuasaan dan penyelesaian secara berhemah.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa sebarang pembinaan baharu rumah ibadat tanpa kelulusan pihak berkuasa akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Bagi struktur RIBI sedia ada yang dibina tanpa kelulusan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan toleransi melalui proses pemutihan, penempatan semula atau penyediaan tapak alternatif yang bersesuaian.

“Pendekatan ini dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan merit setiap kes termasuk kesesuaian tapak dan hasil rundingan dengan pihak berkepentingan.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Pulau Pinang yang diselia Unit RIBI, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Pulau Pinang bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara menyeluruh dan teratur,” jelasnya lanjut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 pada 13 Mei 2026 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Siew Khim menyatakan bahawa penyediaan tapak RIBI turut dijadikan syarat dalam skim pembangunan baharu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kemudahan keagamaan dirancang secara lebih tersusun dan sah di sisi undang-undang.

“Bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan, setiap pembangunan RIBI perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) kepada PBT untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Berdasarkan semakan rekod JPBD sehingga Januari 2026, sebanyak 115 RIBI di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP, 21) dikenal pasti tidak mempunyai kelulusan Pelan Bangunan.

“Kes-kes ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan RIBI Pulau Pinang bagi tujuan penyelarasan keputusan dan tindakan lanjut,” ujarnya yang merupakan ADUN Sungai Pinang.

Dalam perkembangan sama, Siew Khim turut memaklumkan bahawa sistem eRIBI diperkasakan sebagai platform digital bagi mempercepatkan penyelarasan maklumat serta memperkukuh hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan RIBI.

“Kerajaan Negeri turut memperkukuh pendekatan jangka panjang melalui bantuan kewangan Tabung Amanah / Peruntukan Khas RIBI, pemerkasaan sistem eRIBI serta pelaksanaan program perpaduan komuniti menerusi HARMONICO.

“Pada masa yang sama, program seperti Jelajah Harmoni dan dialog antara agama akan terus diperkasakan bagi memupuk persefahaman, empati serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING & DARWINA MOHD. DAUD