GEORGE TOWN – Sektor akuakultur negeri terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencatatkan peningkatan hasil pengeluaran yang signifikan dan mencecah 64,987.00 tan metrik bagi tahun 2025 berbanding 56,051.12 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Lonjakan produktiviti tersebut didorong oleh penyaluran peruntukan berjumlah RM3.6 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada 77 penerima yang mengusahakan ternakan akuakultur di negeri ini sepanjang tahun 2025.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Keusahawan, Dato’ Rashidi Zinol berkata bahawa selain bantuan tersebut, KPKM turut menyalurkan RM880,000 khusus bagi projek Pelepasan Benih Ikan ke perairan umum, dan RM350,000 untuk bantuan peralatan Break and Protect 2 (BP2) kepada 40 penternak akuakultur.
“Keberkesanan inisiatif ini terbukti apabila hasil pendaratan ikan meningkat sebanyak 25 peratus, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan nelayan dan pengusaha tempatan,” katanya ketika menjawab Soalan Lisan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 13 Mei 2026.
Selain sektor perikanan, Rashidi menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada transformasi sektor agromakanan melalui pemodenan pertanian pintar bagi mendepani isu keluasan tanah yang terhad.
Antara strategi utama yang digariskan, menurut beliau, termasuk penggunaan teknologi dron dan mekanisasi ladang bagi meningkatkan hasil setiap hektar, khususnya bagi subsektor padi yang melibatkan keluasan 11,858 hektar.
Tambah beliau, pengurusan ladang secara berpusat dengan menggabungkan lot sawah kecil milik individu ke dalam satu pengurusan kolektif yang lebih efisien, turut diamalkan.
“Pelaksanaan projek tanaman rumput Napier di UiTM Kampus Bertam oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi menjamin bekalan makanan ternakan ruminan sentiasa tersedia.
“Penyaluran bantuan kewangan secara ‘one-off’ dan input pertanian kepada pesawah serta pengusaha tanaman buah-buahan bagi mengurangkan beban kos operasi,” ujarnya yang juga ADUN Sungai Acheh.
Bagi pelan jangka panjang pula, Rashidi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Draf Laporan Akhir Kajian Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP2040) telah menetapkan Zon Sumber Bekalan Makanan bagi memastikan kawasan pertanian yang produktif terus terpelihara.
Selain itu, beliau memaklumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang bahawa kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut diperkukuh melalui pemantauan kawalan harga dan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan harga barangan 10 hingga 30 peratus lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD