Warga emas, golongan komorbid digalakkan ambil dos penggalak kedua – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Warga emas dan golongan komorbid digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata, dos penggalak kedua boleh diberikan sekiranya sela masa selepas dos penggalak pertama telah capai sekurang-kurangnya enam bulan.

Saya amat menggalakkan (pengambilan) dos penggalak kedua terutama warga emas dan golongan komorbid yang sememangnya berisiko tinggi.

“Tambahan pula, baru-baru ini terdapat dua strain Omicron varian BA.4 dan BA.5, maka perlu ada perlindungan.

“(Hal ini kerana), suntikan dos penggalak yang diterima sebelum ini berkesan sehingga enam bulan sahaja.

“Walaupun ada ubat untuk COVID-19 tetapi suntikan dos penggalak ini adalah sebagai pencegahan awal daripada dijangkiti,” ujarnya.

 

NORLELA Ariffin (tiga dari kanan) bersama-sama kakitangan Hospital Pulau Pinang yang bertugas pada pagi ini.

 

Mengulas lanjut, Norlela memaklumkan bahawa terdapat 51 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 yang menawarkan dos penggalak kedua di Pulau Pinang termasuk 19 klinik kesihatan dan 32 PPV swasta.

Individu yang ingin mengambil dos penggalak kedua boleh hadir ke klinik kesihatan secara walk-in atau membuat temu janji melalui aplikasi MySejahtera.

“Dos penggalak kedua ini adalah pilihan dan tidak diwajibkan oleh kerajaan tetapi amat digalakkan kepada mereka yang berisiko tinggi,” jelasnya.

Norlela berkata demikian, sejurus selepas menerima suntikan dos penggalak kedua di Kompleks Rawatan Harian (ACC), Hospital Pulau Pinang di sini pagi ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Y.A.Bhg. Puan Tan Lean Kee bersama-sama Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari turut menerima suntikan dos penggalak kedua di premis sama.

Kesemua mereka disuntik oleh Penyelia Jururawat Hospital Pulau Pinang, Matron Hafizah Hamzah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN